Sungguh, Ramadhan kali ini adalah 'medan muhasabah' bagi saya.
Sejak-sejak ini, saya akan tersedar daripada 'lamunan realiti' yang panjang.
Rendahnya diri ini, masih banyak mutiara-mutiara ilmu yang belum dikutip.
Rendahnya diri ini, menasihati orang lain namun mengabaikan diri sendiri.
Rendahnya diri ini, kadang memandang rendah kepada orang lain.
Rendahnya diri ini, banyak ilmu yang masih belum dipraktikkan.
Kematian itu juga terasa seakan sedang bernafas di sebelah saya sahaja!
Dua berita kematian baru sahaja diterima. Ayah kepada pekerja ayah saya baru meninggal. Sahabat kepada jiran hadapan saya meninggal, dalam keadaan yang menyedihkan.
Pembunuhnya seperti hilang keperimanusiaan. Ya Umat, jiwa Islam mu terbang ke mana?
Kalimah MAUT dan MATI atau AJAL sering sahaja berlegar-legar di ruang minda. Biarpun baru dua berita kematian dan mereka itu bukanlah insan yang rapat dengan saya, wajar untuk saya beringat bahawa kematian itu bila-bila, siapa tahu selepas ini giliran saya bagi dicabut nyawa?
Takkanlah insan yang dekat dengan saya meninggal baru saya hendak memikirkan kematian?
Manusia yang bijaksana adalah manusia yang sentiasa mengingatkan kematian dan bersiap sedia menghadapinya
Sudah bersiap sediakah saya?
" Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya segala penentuan, dan hanya kepada-Nya lah kamu dikembalikan ". (Al-Qashash:88)
Mengingatkan akan kita semua ini akan kembali kepada -Nya, adakah kita sudah cukup bersedia dengan amal ibadat yang cukup?
Ya, waktu terus bergerak, dan kehidupan silih berganti. Kita semua akan pergi. Yang hidup hari ini, besok akan mati. Yang hari ini masih berpijak di atas bumi, besok akan dikandungnya, Itulah sunnah kehidupan. Yang abadi hanyalah iman dan amal soleh. Segala sesuatu akan binasa kecuali amal yang dipersembahkan hanya kepada Allah.
Setelah Ramadhan, muslim yang mendapatkan taufik Allah s.w.t akan bersuka cita kerana dikurniakan kemanisan ketaatan dan mengambil manfaat dari bulan suci Ramadhan.
Tidak sepatutnya hubungan kita dengan Allah yang berlaku selama Ramadhan ini terputus seiring dengan tamatnya bulan Ramadhan.
Mungkin semangat akan berkurang, tidak apalah. Cuba kuatkan semangat dan istiqamah dengan amal ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Jangan patah semangat sudah!
Ini semua juga adalah peringatan buat saya juga.
Syair yang dipetik dari sebuah kitab:
Ambillah bekal untuk sesuatu yang pasti datang
Sesungguhnya kematian ditentukan bagi setiap orang
Sudikah anda dengan suatu kaum berteman
Mereka membawa bekal sedangkan anda berhampa tangan
Yang paling penting kiranya,
Jadikan Allah sebagai tujuan,
bukan bulan Ramadhan!
Make God as purpose,
not Ramadhan!
No comments:
Post a Comment